Dua tempat mula kebakaran dikesan dalam bilik CEO Cradle Fund

Dua tempat mula kebakaran dikesan dalam bilik CEO Cradle Fund
Pegawai penyiasat kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli berkata, terdapat dua kesan kebakaran bermula, dalam kejadian yang menimpa Nazrin Hassan.
SHAH ALAM: Pegawai penyiasat kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Abdul Halim Zulkefeli, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa terdapat dua kesan kebakaran bermula, dalam kejadian yang menimpa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.

Beliau yang merupakan saksi pendakwaan ke-15 dalam perbicaraan kes pembunuhan Nazrin berkata, dua tempat bermulanya kebakaran itu adalah pada tilam serta bahagian kepala Nazrin, yang mana kedua-duanya tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain.

"Terdapat sisa kebakaran di dada serta kepala mangsa, namun saya tidak dapat pastikan apakah barang itu," katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Datuk Salim Soib@Hamid di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Abdul Halim juga memberitahu mahkamah, ketika siasatan dijalankan ke atas mayat Nazrin, beliau mendapati tiada kecederaan serta kesan jelaga pada bahagian belakang badan mangsa, melainkan dua lubang serta kesan darah di bahagian kepalanya.

"Oleh itu saya berpendapat sebelum kebakaran berlaku, Nazrin sudah terbaring di kawasan dia ditemui (atas tilam) berdasarkan ketiadaan kesan jelaga di (bahagian) belakang mangsa.

"Saya juga dapati tiada kesan mangsa cuba melarikan diri atau bersembunyi menyelamatkan diri daripada kebakaran berkenaan, kerana mangsa ditemui berada di 'point of origin' kebakaran," katanya.

BACA: Mayat CEO Cradle Fund ditemui di penjuru katil dan berdarah - Saksi


BACA: Penjara nafi balu CEO Cradle Fund ditahan dalam bilik gelap



Abdul Halim turut memberitahu, hasil siasatannya juga mendapati mangsa tidak melakukan apa-apa cubaan untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran berkenaan, berdasarkan pada keadaan bilik itu semasa pemeriksaan dijalankan.

Ini kerana katanya, berdasarkan pengalamannya sebagai anggota bomba, kebiasaannya mangsa kebakaran pasti akan cuba menyelamatkan diri dengan cara sama ada bersembunyi di dalam bilik air atau almari, selain berusaha keluar melalui pintu mahupun tingkap.

"Tetapi dalam kejadian ini, tiada sebarang kesan pada pintu bilik sama ada ia cuba dipecah daripada dalam, mahupun cubaan bersembunyi di dalam almari. Sekiranya dia (mangsa) cuba memecahkan tombol pintu bilik itu, dia pasti akan dijumpai di kawasan berhampiran dengan pintu, bukan di atas katil," katanya.

Abdul Halim juga memberitahu mahkamah, mangsa boleh mendapatkan bantuan, sekiranya berada dalam keadaaan sedar ketika kebakaran berlaku.

"Melihat pada jenis serta kesan kebakaran, keluasan bilik dan tempat bermula kebakaran, jika mangsa masih hidup dia memang boleh keluar selamatkan diri," katanya.

Pada 12 Mac lepas, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif senior di Perbadanan Harta Intelek Malaysia, yang juga isteri kepada Nazrin, 47, dan dua remaja lelaki masing-masing berumur 17 serta 14 tahun, didakwa bersama-sama seorang warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang masih bebas, membunuh lelaki berkenaan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Tuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok. - BERNAMA


Tag: Cradle Fund, Nazrin Hassan, kes pembunuhan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.