Polis berjaya menahan dua tokan dan merampas dadah jenis heroin dan metamfetamin bernilai RM46,750 dalam serbuan di sebuah pondok kosong di dalam dusun durian di Kampung Sempeneh, Batu Kurau dekat sini pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira jam 4 pagi.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam pondok tersebut telah menjumpai satu bekas tin bertulis 'PREMIUM Durian Mas' di atas lantai pondok tersebut.

“Pemeriksaan bekas tin tersebut mendapati terdapat enam peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 635 gram dan tiga peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis metamfetamin, anggaran berat 100 gram.

“Polis menangkap kesemua suspek serta merampas barang kes dan balik ke pejabat BSJND Taiping, untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, suspek pertama seorang lelaki berumur 35 tahun yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah manakala suspek kedua juga seorang lelaki berumur 27 tahun yang mempunyai dua kes lampau.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua menganggur itu juga positif morfin.

Osman berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku menjual dadah tersebut di sekitar kawasan Batu Kurau.

Polis turut menyita sebuah motosikal yang bernilai kira-kira RM7,000.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 13 September ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Polis turut menyita sebuah motosikal yang bernilai kira-kira RM7,000.