Dua buah treler terbakar di KM257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan sebelum Terowong Menora pada Ahad.

Kebakaran menyebabkan kesesakan lebih lapan kilometer ketika pengguna jalan raya mula pulang ke ibu negara selepas cuti hujung minggu.

Bagaimanapun, tiada mangsa yang tercedera.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 11.41 pagi.

Katanya, anggota bomba menggunakan air dan buih untuk memadamkan kebakaran.

Anggota Bomba cuba memadamkan api menggunakan buih.
Ketika proses pemadaman, pihak PLUS terpaksa menutup laluan ke selatan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Kebakaran dua treler itu tidak melibatkan apa-apa kecederaan.
Pemandu diarah membuat pusingan-U berpatah ke Kuala Kangsar, seterusnya mengikut jalan lama untuk meneruskan perjalanan ke selatan.

Apabila situasi mengizinkan, pihak PLUS akan membuka satu laluan ke selatan dengan mengambil satu lorong daripada laluan ke arah utara.