Tren LRT di dua stesen Laluan Kelana Jaya hari ini dilaporkan mengalami masalah pada sistem brek yang menyebabkan gerabak diselubungi asap.

Kejadian pertama di Stesen Setiawangsa berlaku pada jam 8.19 pagi dan menyebabkan perjalanan terganggu sehingga jam 8.45 pagi.

Manakala insiden kedua melibatkan tren di Stesen Universiti pada jam 12.18 tengah hari di mana perkhidmatan kembali pulih pada jam 12.35 tengah hari.

Tiada penumpang dilaporkan cedera dalam kedua-dua kejadian.

Seramai 53 penumpang telah dipindahkan ke tren penyelamat ketika kejadian di Stesen Universiti.

Prasarana Malaysia Berhad dalam satu kenyataan rasmi hari ini memohon maaf atas kejadian yang berlaku.

Pengarah Kumpulan Bahagian Rel, Ahmad Nizam Mohd Amin berkata tiada kebakaran dan kecederaan dilaporkan, hanya kewujudan asap tebal di kedua-dua lokasi disebabkan oleh minyak brek yang terpercik ke atas landasan tren yang panas.

“Ketika kejadian, penumpang telah diarah keluar selepas tren berhenti dan dipindahkan ke tren penyelamat. Pasukan penyelamat Rapid Rail telah bertindak mengawal keadaan,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Menurut Prasarana, sebelum ini pihaknya telah melaporkan kejadian sama pada bulan Februari melibatkan empat gerabak tren dan kejadian hari ini adalah berpunca daripada masalah sama.

“Pihak pengeluar iaitu syarikat Bombardier dan Knorr Brake telah mengenal pasti masalah reka bentuk sebagai punca kejadian.

“560 unit kaliper brek telah diganti sementara menunggu kedua-dua syarikat mengeluarkan penyelesaian jangka panjang.

“Namun begitu, berikutan sistem keselamatan yang canggih, ketika kedua-dua kejadian hari ini tren telah berhenti secara automatik sebaik mengalami masalah itu,” menurut kenyataan itu lagi.