Dua wartawan Australia ditahan polis kerana tidak mematuhi arahan dalam majlis yang dihadiri Perdana Menteri di Kampung Haji Baki, Sentosa, Sarawak malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar, berkata dua wartawan berkenaan telah melintasi garisan keselamatan dan cuba mendekati Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara agresif.

"Kejadian berlaku kira-kira 8.35 malam. Kedua mereka ditahan kerana gagal mematuhi arahan polis untuk tidak melepasi garisan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Mereka kemudiannya dibawa ke balai polis Padawan untuk disoal siasat sebelum dibebaskan pada pagi Ahad.

Menurut Dev Kumar, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

Sementara itu, saluran berita Australia, ABC mengesahkan wartawannya Linton Besser dan jurukamera Louis Eroglu ditahan di Kuching pada malam Sabtu selepas membuat liputan majlis yang dihadiri Najib.