Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak menerima sebarang surat ataupun pemberitahuan daripada bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mahupun peguamnya.

Timbalan Speaker DUN Sabah, Datuk George Ginibun berkata, maklumat itu hanya diketahui melalui media namun pihak DUN tidak menerima surat yang sebenar.

"Kita tidak tahu kenyataan itu benar-benar dari Tan Sri Musa ataupun orang lain kerana kita tidak menerima sebarang surat. Malah, kita hanya membaca dakwaan berkenaan melalui media," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Jumaat.

Tambah George, undang-undang yang mewajibkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengangkat sumpah dalam tempoh tiga bulan adalah terpakai untuk kesemua ADUN.

Merujuk kepada kes Musa, beliau menyatakan, sama seperti ADUN yang lain, jika gagal mengangkat sumpah dalam tempoh yang ditetapkan, undang-undang akan diguna pakai iaitu kerusi yang dimenangi oleh ADUN itu akan diisytiharkan kosong.

Bagaimanapun, katanya jika seseorang ADUN itu mempunyai sebab tidak dapat mengangkat sumpah, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membuat penentuan.

"Ini undang-undang 90 hari atau tiga bulan terpakai kepada semua, bukan saja Tan Sri Musa ataupun siapa, setiap satu ADUN dia mesti mahu angkat sumpah dalam masa 90 hari.

"Kalau sesiapa yang tidak datang, undang-undang akan dijalankan tetapi kalau dia minta kelonggaran kerana ada sesuatu sebab itu terpulang kepada kerajaan sama ada membenarkan atau tidak," katanya.

Semalam, Musa melalui peguamnya telah memohon untuk melanjutkan tempoh bagi proses angkat sumpahnya atas sebab sedang menjalani rawatan.

Dalam kenyataan itu juga, peguam Musa mendakwa telah menghantar surat bertarikh 30 Julai kepada speaker DUN Sabah bagi menjelaskan keadaan kesihatan bekas ketua menteri itu.

Terdahulu, Musa perlu mengangkat sumpah sebagai ADUN Sungai Sibuga dalam tempoh tiga bulan bermula 1 Julai lalu, apabila persidangan DUN Sabah diadakan buat kali pertama selepas pilihan raya umum.

Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kerusi yang dimenangi beliau diisytiharkan kosong.