Ketua Menteri Tan Sri Dr Adenan Satem hari ini mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan dibubar pada 11 April ini bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri yang ke-11 diadakan.

Beliau berkata tarikh itu telah diperkenan oleh Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud ketika beliau mengadakan pertemuan dengan beliau pagi tadi.

"TYT (Taib Mahmud) meminta supaya DUN Sarawak dibubarkan oleh kerana dia yang boleh (ada kuasa) membubarkan DUN. Selepas itu terpulanglah pada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk bilakah hari penamaaan calon dan tarikh pengundian," katanya pada sidang media hari ini.



Menurut Klausa 4 Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya negeri perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Penggal DUN Sarawak sekarang sepatutnya berakhir pada 30 Jun ini dan SPR akan memutuskan tarikh penamaan calon dan mengundi sebaik dimaklumkan mengenai pembubaran DUN itu.

Sebelum itu, Adenan memaklumkan pengisytiharan pembubaran itu, ditandatangani oleh Yang Dipertua Negeri.

Ia akan iserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar yang akan memaklumkan kepada SPR.

Barisan Nasional ketika ini menguasai 55 daripada 71 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri sekarang, DAP dengan DAP 12 kerusi dan PKR tiga. Terdapat seorang wakil Bebas.

Pada kali ini, akan terdapat 11 kerusi baharu susulan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR pada tahun lepas.