Tutup

Dunia Islam ketinggalan dalam arus teknologi - Dr Mahathir

Dunia Islam ketinggalan dalam arus teknologi - Dr Mahathir
Tun M: Dunia Islam harus kembali melihat zaman kegemilangan tamadun Islam, dan keupayaan pemerintahan ketika itu dalam memastikan tiada usaha merampas tanah mereka. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Banyak kemajuan yang sebelum ini tidak terbayang dalam fikiran, telah pun tercapai hasil perubahan arus teknologi masa kini, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, walaupun kesemua itu langsung tidak dicipta oleh negara Islam, namun mereka tetap terpaksa menggunakannya kerana tidak mahu ketinggalan.
“Pencapaian manusia masa kini adalah jauh dari apa yang kita pernah bayangkan. Kita boleh terbang pada kelajuan yang cukup tinggi. Kita boleh bercakap dengan seseorang walaupun dari jarak beribu batu. Kita boleh menggerakkan objek tanpa sentuhan fizikal.

“Tetapi semua ini bukan dicipta atau dibangunkan oleh kita. Ini bermakna kita terpaksa bergantung kepada orang lain yang mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran, yang terhasil dari kemajuan mereka,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sewaktu Sidang Kemuncak Kuala Lumpur 2019 (KL Summit 2019), di sini hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah membangkitkan ketidakupayaan negara Islam untuk mempertahankan Ummah, dan itu memberi peluang kepada musuh untuk mewujudkan sebab agar negara Islam bertelagahan dan berbunuhan antara sesama sendiri.

Dunia Islam pada zaman kini, jelasnya lagi, memerlukan senjata berteknologi tinggi seperti peluru berpandu, kereta perisai, jet pejuang dan juga kapal perang, sebagai persiapan untuk melindungi negara sendiri.

Namun, jelas Pengerusi Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2019) itu lagi, selain senjata yang disifatkan primitif, negara Islam tidak mampu menghasilkan senjata berteknologi tinggi dengan keupayaan sendiri.

Atas sebab itu, beliau berkata, negara Islam tidak mampu menyediakan pertahanan untuk melindungi Ummah, erti kata lain, tidak boleh mematuhi (injuksi) kehendak agama.

“Kenapa kita tidak boleh melindungi diri sendiri? Ini kerana kita tiada ilmu pengetahuan sains yang membolehkan kita membina senjata ini.

“Dan atas sebab itu, Ummah kini ditindas, dibunuh, diusir dari negara sendiri, mati di atas lautan dan darat dalam usaha melarikan diri,” tegasnya lagi.

Atas sebab itu, Dr Mahathir berkata, dunia Islam harus kembali melihat zaman kegemilangan tamadun Islam, dan keupayaan pemerintahan ketika itu dalam memastikan tiada usaha merampas tanah mereka.