Dusha Nanthakumar, 22 tahun, pelajar jurusan psikologi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah dinobatkan sebagai pendebat terbaik sempena program Siri Pertama Debaton Parlimen (Belia) yang berlangsung di Parlimen pada malam Sabtu.

Beliau yang mewakili pihak pembangkang sebagai pendebat kedua, diumumkan pendebat terbaik setelah memperoleh sebanyak 1,257 undian menerusi atas talian setelah proses perdebatan berakhir.

Sesi debat di Parlimen itu menyaksikan seramai 46 belia Malaysia membahaskan usul "Pekerja Prekariat Dalam Ekonomi Gig" yang terbahagi antara pihak kerajaan dan juga pembangkang, dan disertai pendebat berumur antara 16 hingga 25 tahun.

Program debat itu merupakan sesi pertama daripada tiga sesi Debaton Parlimen 2019 anjuran Malaysiakini dan Parlimen Malaysia yang juga mendapat kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Objektif program ini adalah bertujuan memberi peluang kepada para peserta untuk menyatakan pendapat mereka, menggalakkan golongan belia berfikir secara kritikal serta membincangkan dasar-dasar yang akan memberi kesan kepada golongan muda masa kini.

Terdahulu, pembukaan sesi debat disempurnakan dengan ucapan perasmian Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof yang kemudiannya turut dipengerusikan oleh beliau bagi sesi bahas tersebut.