Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian menggunakan pepatah Melayu "Bukit Sama Didaki, Lurah sama Dituruni' dalam ucapan beliau untuk memperingati Ulang Tahun Hubungan Diplomatik Malaysia-China yang ke-46.

Dalam catatan beliau di laman Facebook Kedutaan Besar China di Malaysia, beliau menekankan kerjasama dua hala ini menjadi bertambah penting dalam menghadapi pandemik COVID-19.

"Sahabat sejati tidak mengenal jarak. Empat puluh enam tahun dahulu, pada hari ini, Malaysia adalah antara negara ASEAN pertama menjalin hubungan diplomatik dengan China, membuka laluan kepada hubungan persahabatan yang berpanjangan.

"Sepanjang 46 tahun lalu, dalam keadaan naik dan turun, hubungan China-Malaysia kekal kukuh dan stabil, dan seterusnya menjadi persahabatan erat merangkumi pelbagai bidang serta membuahkan kerjasama yang berjaya," kata beliau.

Beliau berharap China dan Malaysia dapat bekerja sama mengatasi kesuraman ekonomi susulan pandemik COVID-19, dan meneruskan projek utama seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan inisiatif "Dua Negara, Taman Berkembar" untuk mengoptimumkan struktur dagangan dan meluaskan skala perdagangan sementara meningkatkan pembangunan infrastruktur dan hubungan ke arah menjadikan Malaysia sebagai hab logistik Asia Tenggara.

Beliau berkata China cenderung untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia untuk mempelopori ekonomi digitalnya dan industri baharu muncul dalam membantu Malaysia menjadi sebuah negara perindustrian utama.

"Ada peribahasa China berkata, 'bukan sebarang rumput dapat bertahan dalam angin yang kencang', dan hanya seorang rakan sejati mampu setia buat sekian lama," katanya.

-- BERNAMA