Seorang penganggur dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah mengedar dadah, dua tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman terhadap Ahmad Faisal Embong, 31, setelah pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 16.51 gram pada 15 ogos 2017 .

Kesalahan dilakukan di tepi jalan di Kampung Balik Bukit, Seberang Pintasan Dungun.

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 39b(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah seksyen 39b(2) akta yang sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan tidak kurang 15 kali sebatan.

Selain itu, tertuduh juga berdepan dua lagi pertuduhan iaitu memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 4.55 gram serta memiliki dadah berbahaya jenis nimetazepam seberat 0.57 gram.

Bagi dua pertuduhan itu, tertuduh dihukum empat tahun penjara dan didakwa di bawah seksyen 12 (2) akta dadah berbahaya 1952 serta boleh dihukum di bawah seksyen 12 (3) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud dan Amer Abu Bakar Abdullah manakala tertuduh pula diwakili peguam Mohd Farhan dari Tetuan Hanif & Co.