Ekonomi Sandakan tidak berkembang jika isu keselamatan tidak ditangani - Anwar

Ekonomi Sandakan tidak berkembang jika isu keselamatan tidak ditangani - Anwar
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Ceramah Umum Kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen P186 Sandakan di Bandar Prima malam ini. - Foto BERNAMA
SANDAKAN: Isu ancaman keselamatan di Sandakan perlu diselesaikan dengan segera bagi memastikan ekonomi di daerah itu kembali pulih seperti sebelum ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau sendiri akan bertemu dengan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bagi memastikan isu itu dapat diselesaikan segera.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang baru setahun mentadbir negara sedang berusaha dalam menangani masalah-masalah yang mendepani rakyat pada ketika ini.

“Saya hendak kalau boleh kita selesaikan (isu keselamatan) dengan baik dan cepat. Kalau tidak, ekonomi tidak akan berkembang.
“Urusan jual beli harus diteruskan, perniagaan perlu berjalan dan keselamatan adalah perkara nombor satu. Kita kena pastikan tiada penculikan dan rompakan.

“Jadi saya berjanji tadi, saya akan cakap dengan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan esok pagi kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk cuba cari jalan percepatkan kerana rakyat kini menghadapi masalah.

“Kita tidak kata bahawa kita telah selesaikan semu masalah. Kita baru setahun dan mahu membetulkan masalah lama, jadi bersabar dan kami akan buat yang terbaik,” katanya pada ceramah umum sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan di sini hari ini.

Hadir sama pada ceramah umum itu adalah calon DAP, Vivian Wong Shir Yee dan beberapa pemimpin negeri dan pusat seperti Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew; Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Ching Tong; Timbalan Speaker Dewan Rakyat; Nga Kor Ming dan veteran DAP, Lim Kit Siang.

Beliau bagaimanapun akui polis dan tentera telah melakukan yang terbaik dalam menangani isu tersebut hingga ada yang terkorban.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan bahawa isu keselamatan di perairan Pantai Timur Sabah menjadi antara kebimbangan para penduduk di Sandakan.

Ia bukan sahaja menjejaskan mata pencarian majoriti penduduk setempat yang bekerja sebagai nelayan, malah turut menjejaskan beberapa sektor lain seperti pelancongan dan perniagaan.




Tag: ancaman keselamatan, ekonomi Sandakan, Sandakan memilih, PRK Sandakan, pilihan raya kecil, Anwar Ibrahim, Pakatan Harapan, isu keselamatan, Menteri Dalam Negeri, Menteri Pertahanan, Vivian Wong Shir Yee, Pantai Timur Sabah


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.