Tan Sri Mohamed Apandi Ali hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi Lembaga Displin UMNO serta-merta.

Keputusan itu diambil beliau ekoran keputusan pucuk pimpinan parti membatalkan sesi perjumpaan antara Lembaga Displin dengan bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Dalam mesej pesanan ringkas kepada Astro AWANI, bekas Peguam Negara itu berkata, pembatalan itu adalah sesuatu yang tidak bertepatan dengan Perlembagaan Parti.

“Hasil perkembangan ini, saya telah arahkan Setiausaha Lembaga Displin untuk menyediakan surat perletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan berkuat kuasa dengan serta-merta.

“Saya tidak rela dijadikan sebagai kuda tunggangan. Maruah saya lebih penting daripada jawatan,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan, Hishammuddin sepatutnya dipanggil mengadap Lembaga Displin hari ini bagi memberi penjelasan berhubung tuduhan melanggar perlembagaan dan tataetika sebagai ahli UMNO.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Nor Adam sebelum ini telah memfailkan surat rasmi kepada Lembaga Displin bagi menyiasat dakwaan bahawa Ahli Parlimen Sembrong itu cuba menjadi ‘orang tengah’ dengan membawa masuk beberapa pemimpin UMNO ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Mohamed Apandi berkata, beliau amat kecewa kerana sesi itu telah dibatalkan atas arahan pucuk pimpinan parti.

Arahan itu, katanya, jelas melanggar keluhuran dan kebebasan Lembaga Displin seperti yang termaktub di bawah perlembagaan parti.

“Memang prosiding show cause akan dipengerusikan oleh anggota Lembaga yg lain.Yang saya amat kecewa ialah, ia di batalkan atas arah pucuk pimpinan parti. Ini tiada peruntukan dalam Perlembagaan Umno.

“Lembaga Disiplin adalah suatu badan bebas yang tidak tertakluk kepada apa-apa arahan pimpinan parti.

"Tindakan membatalkan prosiding itu adalah tidak berpelembagaan. Ia tidak sah di sisi undang-undang. Sebagai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dan bekas Peguam Negara, ia adalah tanggungjawab saya untuk menegakkan perlembagaan dan undang-undang," tegas beliau lagi.