Tutup

Ekspedisi luncur salji anjing: Rizal Khalif sudah minta pandangan mufti

Ekspedisi luncur salji anjing: Rizal Khalif sudah minta pandangan mufti
Bercakap mengenai persiapan untuk menempuh ekspedisi itu, Rizal menjelaskan, persiapan mental dan fizikal adalah sama penting. Astro AWANI / SITI NURSYAZWANI
PETALING JAYA: Pasti ramai yang sudah tahu tentang pengendali Malaysia pertama kereta luncur salji anjing, Rizal Khalif,  yang telah berjaya meraih undian tertinggi melalui laman sosial Facebook untuk menyertai ekspedisi 'Fjällräven Polar 2018' di Artik bulan depan.

Namun, bagi sesetengah pihak, memandu kereta luncur salji anjing merupakan isu sensitif terutamanya bagi penganut agama Islam.
Bagi Rizal Khalif, 42 tahun, isu itu bukan penghalang bagi penganut Islam untuk mengembara seluruh dunia kerana ada garis panduan yang boleh diikuti.

“Saya telah mendapatkan khidmat runding dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan terdapat garis panduan yang saya sebagai umat Islam dapat turuti dengan mudah.
“Antaranya adalah menggunakan sarung tangan apabila mengendali anjing, menggunakan cara tayamum untuk berwudhuk dan beberapa lagi.

“Islam itu mudah dan saya sangat teruja untuk menjadi pengendali kereta luncur salji anjing pertama mewakili Malaysia,” kata Rizal.

Beliau yang merupakan kakitangan Malaysia Airlines, ditemui pada satu sidang media di Malaysia Airlines Academy, Kelana Jaya di sini, pada Rabu.

Rizal mewakili Malaysia bersama 19 peserta lain dari seluruh dunia, yang dibahagikan kepada 10 wilayah, akan menyertai ekspedisi 'Fjällräven Polar 2018' itu.

BACA: Sah! Rizal Khalif pengendali Malaysia pertama kereta luncur salji anjing

Mereka dikehendaki untuk memandu kereta luncur salji anjing dengan sendirinya merentasi hutan gunung bersalji bermula 9 April sehingga 15 April.

Perjalanan ekspedisi itu akan bermula di pinggir Fjord Norway di Signaldalen dan berakhir di kawasan Jukkasjärvi di Lapland, Sweden.

Rizal ketika ditanya tentang persiapan untuk menempuh ekspedisi itu menjelaskan, persiapan mental dan fizikal adalah sama penting.

“Walaupun saya sepatutnya menaikkan berat badan kerana akan memandu kereta luncur anjing, namun perkara itu agak sukar buat saya.

“Bagaimanapun, dari segi fizikal lain saya percaya saya bersedia kerana aktiviti outdoor itu memang ada dalam diri saya.

“Dari segi mental pula, dengan usia saya pada waktu ini saya juga percaya saya akan dapat menempuh cabaran yang akan dihadapi dalam ekspedisi itu,” ujarnya.

“Saya ingin berterima kasih kepada ibu bapa saya, ahli keluarga, rakan-rakan dan rakyat Malaysia yang telah mengundi saya.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk mengharumkan nama tanah air,” tambahnya.

Dianjurkan sejak 1997, 'Fjällräven Polar 2018' adalah sebuah ekspedisi di Artik yang melibatkan peserta dari seluruh dunia mengembara sejauh 300 km melintasi padang gurun Artik.

Peserta yang mengambil bahagian di dalam cabaran itu akan dikehendaki untuk memandu kereta luncur salji anjing dengan sendirinya merentasi hutan gunung bersalji.