Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mengeksploitasi isu bahasa sehingga boleh mencetuskan ketegangan kaum.

Kerajaan juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang mencetuskan provokasi dengan melanggar undang-undang.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, dalam kehidupan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, sikap tidak sensitif segelintir pihak boleh mencetuskan sentimen perkauman.

"Janganlah sebabkan ada ideologi satu atau dua parti, dan (disebabkan) kepentingan ideologi masing-masing, boleh menyebabkan kita berpecah.

"Dia nak adakan idealogi dia itu semata-mata kerana nak meyakinkan beberapa kumpulan sahaja, (untuk tunjukkan) bahawa dia berani, dan merupakan kumpulan yang boleh memperjuangkan nasib minoriti," ujar Hamzah.

Beliau ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Pemilihan Bersatu Bahagian Larut pada Sabtu.

Menurutnya, isu bahasa sepatutnya tidak timbul kerana ia sudah termaktub di dalam Perlembagaan negara yang telah merdeka sejak 63 tahun lalu.

Pada Khamis, sekumpulan ahli DAPSY Sarawak didapati menampal pelekat dalam tulisan Cina pada beberapa papan tanda jalan di bandar raya ini atas alasan ia perlu diterjemahkan dalam bahasa itu untuk keperluan pelancong dari China.

Tindakan diketuai bekas Ahli Parlimen Stampin Julian Tan yang tular di media sosial itu turut mengundang pelbagai komen netizen yang tidak bersetuju dengan perbuatan tersebut.