Anak muda diingatkan supaya berpada-pada ketika meraikan sambutan tahun baru, kata timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Isnin.

Menurutnya, tidak salah untuk berseronok namun cara sambutan itu kerap kali dilakukan di luar kawalan sehingga membawa kepada masalah sosial.

Katanya, sebagai ibu, beliau melahirkan rasa bimbang berhubung trend penganjuran parti muda-mudi yang sering diadakan ketika sambutan Tahun Baru.

“Saya dimaklumkan aktiviti-aktiviti tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah dan seks rambang meningkat pada sambutan perayaan-perayaan begini.

"Kesan daripada penyalahgunaan dadah, kejadian-kejadian keganasan rumahtangga dan keganasan terhadap kanak-kanak bertambah saban hari.

“Ini sangat menyedihkan dan perlu dibendung! Sembilan bulan dari sekarang, akan mulalah terpampang di akhbar-akhbar tentang kejadian remaja membuang bayi yang semakin meningkat kerana aktiviti-aktiviti yang tidak sihat pada sambutan perayaan seperti tahun baru dan sebagainya," kata Dr Wan Azizah.

Golongan remaja yang sudah terlanjur diingatkan agar jangan sesekali melakukan kesilapan kedua dengan membuang bayi yang dikandung mereka. Sebaliknya mereka mempunyai pilihan dan saluran yang betul.

“Jika sudah terlanjur, janganlah pula terus menambah kesilapan kerana setiap masalah ada jalan penyelesaiannya.

"Hubungi talian Kasih di 15999, berjumpa dan berbincang dengan kaunselor atau pergi ke rumah-rumah perlindungan di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Parlimen Pandan di ibu negara pada Isnin.