Enam pusat rekreasi tumpuan di negeri Kedah disaran tutup sementara kepada semua aktiviti yang dibimbangi mengancam keselamatan pengunjung terutama musim tengkujuh.

Pemantauan mendapati lokasi-lokasi berkenaan berpotensi berlaku kejadian kepala air.

Enam lokasi terlibat ialah Pusat Rekreasi Bukit Wang di Jitra, Puncak Janing di Kuala Nerang, Tupah dan Sungai Kilim di Sungai Petani, dan dua lagi di Batu Hampar dan Titi Hayun di Yan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata orang ramai diminta mematuhi saranan itu hingga diberitahu kelak.

“Saya telah mengarahkan supaya semua PBT supaya meletakkan pengawas atau pengawal untuk berada di posisi di mana berlaku kepala air di kawasan tersebut.

"Saya difahamkan baru-baru ni juga berlaku kepala air di Air Terjun Bukit Wang, tapi Alhamdulillah tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa ataupun kecederaan pada pengunjung,” ujarnya.

Tambahnya, segala kerosakan berkaian kepala air akan dibaiki dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, penjaga Hutan Lipur Bukit Wang, Mohd Tarmizi Keria berkata kejadian terbaharu minggu lalu mengakibatkan banyak reba kayu dan dahan mati hanyut dibawa arus deras.

Kejadian dalam tempoh 30 minit itu turut merosakkan laluan pejalan kaki, pondok rehat dan tandas awam di hutan lipur berkenaan.

Katanya, kejadian kepala air yang paling teruk berlaku pada tahun 2000 yang menyebabkan kematian dan dibimbangi berulang sekiranya keadaan paras air di atas bukit melimpah.

Sehubungan itu, pengunjung yang merancang mengunjungi mana-mana air terjun pada cuti hari minggu dan persekolahan dinasihatkan supaya mengelakkan kawasan-kawasan terlibat untuk keselamatan.