Gara-gara bimbang ditahan pihak berkuasa,seorang warga Kemboja bertindak nekad dengan memanjat sebatang pokok cengal setinggi 25 meter di Kampung Sungai Pinang, Kuala Terengganu.

Lelaki berusia sekitar 30-an itu berada di atas pokok cengal itu sejak jam 11 malam Khamis lalu tanpa bekalan air dan makanan, manakala dan semua usaha memujuknya untuk turun sehingga petang hari ini menemui jalan buntu.

Pada awalnya, penduduk kampung menyedari lelaki terbabit berada di atas pokok selepas mendengar jeritan meminta tolong dan isyarat lampu suluh.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan yang bekerja sebagai buruh tetap tidak mahu turun walau penduduk kampung cuba menawarkan bantuan kepadanya.

Menurut seorang penduduk, Nasir Muhammad, 55, lelaki terbabit takut dan panik untuk turun selepas melihat orang ramai mengerumuni kawasan berkenaan.

“Dia tiada kad pengenalan diri kerana dia pendatang dan kerana itu dia berasa takut lebih-lebih lagi kerana melihat orang ramai,” ujar Nasir.

Difahamkan, apabila orang kampung memanjat pokok itu, lelaki tersebut memanjat lebih tinggi. Apabila diugut untuk menebang pokok itu pula, dia mengugut untuk bunuh diri dengan terjun ke tanah.

“Maka, saya beritahu dia, nanti bila hari sudah malam, turunlah sendiri. Jangan buat perkara yang tidak molek,” kata Nasir.

Sementara itu, Ketua Operasi, Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Hairisyam Mat Tahar berkata seramai sembilan anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira pukul 12.30 tengah hari pada Jumaat.

Menurutnya, pihaknya masih meneruskan usaha bagi memujuk mangsa dengan bantuan penduduk kampung, anggota Rela dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).