Elak diskriminasi kaum dalam sektor pekerjaan

Elak diskriminasi kaum dalam sektor pekerjaan
Waytha Moorthy menyeru agar isu perkauman tidak dijadikan sebagai modal untuk meraih sokongan oleh mana-mana parti politik. - Gambar fail
BANDARAYA MELAKA: Diskriminasi kaum dalam bidang pekerjaan di negara ini perlu dihentikan.

Demikian tegas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy yang menyatakan peluang pekerjaan yang saksama penting dalam menyatu padukan masyarakat berbilang kaum.

Untuk itu katanya, penyelesaian strategik sedang dirangka pihaknya bagi membasmi isu diskriminasi itu dari terus menular.

Beliau turut menyarankan kepada majikan untuk berperanan penting dengan tidak membabitkan elemen perkauman dalam memberi tawaran pekerjaan.
"Semua majikan, dan juga kalau ada, pertubuhan seperti pertubuhan majikan dan sebagainya, akan memberi lebih tumpuan kepada penyatu paduan rakyat melalui peluang pekerjaan yang baik.

"Peluang pekerjaan yang saksama boleh menyatu padukan rakyat berbilang kaum di negara kita dan sekali gus membolehkan semua rakyat Malaysia memberikan keupayaan optimum," katanya.

Waytha Moorthy bercakap kepada pemberita mengulas hasil kajian sebuah pusat penyelidikan swasta yang menunjukkan kaum Melayu dan India sukar mendapat pekerjaan di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar isu perkauman tidak dijadikan sebagai modal untuk meraih sokongan oleh mana-mana parti politik.

Terdahulu, beliau menghadiri program Sambutan Hari Kebesaran Persatuan Penganut Dewa Kwang di Tanjung Minyak, malam tadi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong.