Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihatkan orang ramai supaya meletakkan peralatan eletrik di tempat tinggi dan kering, selain menutup suis utama apabila premis mereka dilanda banjir bagi mengurangkan kemungkinan renjatan elektrik berlaku.

Pengguna yang premis mereka dinaiki air juga dinasihatkan untuk segera menghubungi TNB bagi membolehkan syarikat utiliti nasional tersebut menghentikan bekalan demi keselamatan.

“Sila hubungi pejabat TNB yang berdekatan, TNB CareLine 15454 atau Facebook TNB Careline sebaik paras air meningkat, supaya kami boleh memutuskan bekalan elektrik bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini,” kata Pengurus Besar (Perhubungan Awam & Dalaman) TNB, Datuk Omar Sidek.

Katanya, TNB sentiasa mengawasi keadaan dari semasa ke semasa dan akan menutup bekalan ke pencawang di kawasan terlibat sekiranya paras air mencecah tahap bahaya.

“Penutupan bekalan elektrik ke kawasan terlibat dibuat untuk sementara waktu demi memastikan keselamatan orang awam terjamin. Bekalan elektrik akan disambung semula setelah air banjir surut dan keadaan kembali selamat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa untuk sentiasa mengawasi tindak tanduk anak-anak mereka agar menjauhi tiang elektrik yang tumbang atau wayar elektrik yang terputus kerana arus elektrik dikhuatiri masih mengalir dan berbahaya serta boleh mengakibatkan kemalangan.

“Maklumkan kepada kami supaya kami boleh segera membaiki kerosakan tersebut,” katanya sambil mengingatkan orang ramai untuk menjauhi kawasan di mana paras air naik dan mencecah talian TNB.