Setiap kali bulan Ramadan, 'Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras' adalah antara juadah pilihan ramai orang yang sukakan keenakan kuih tradisional itu.

Namun, Ramadan tahun 2020 ini mungkin tidak lagi sama seperti tahun-tahun sebelumnya, kerana penularan wabak COVID-19, sekali gus menjejaskan kebanyakan usahawan termasuk peniaga bermusim.

Menyedari kesedaran untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19, pengusaha Tepung Pelita Paya Jaras popular ini sanggup mengambil tanggungjawab itu dengan tidak menjalankan operasi membuat kuih kegemaran orang ramai itu Ramadan kali ini.

Mengakui ramai yang kecewa dengan keputusan untuk tidak membuat kuih berkenaan tahun ini, pemiliknya, Watie Abdul Rahman, 48 tahun dan suami, Nadzri Taris, 46 tahun terpaksa berbuat demikian demi kebaikan semua rakyat Malaysia.

"Selama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerajaan menyarankan kita supaya mengelakkan COVID-19 daripada terus menular. Itu juga tujuan kami sebenarnya, sebab apabila kita berniaga kita memerlukan pergerakan yang banyak untuk memenuhi permintaan dan barang-barang yang disalurkan kepada orang. Jadi sebab COVID-19 inilah kami tidak berniaga pada tahun ini," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Watie, banyak permintaan daripada ejen-ejen jualan untuk menjual kuih berkenaan, namun beliau masih berpendirian tidak akan menjalankan operasi tahun ini.

Tepung Pelita Istimewa Paya Jaras adalah antara pilihan ramai semasa Ramadan

Tiada Jualan Atas Talian

Pada masa sama, jualan dalam talian juga tidak akan dilakukan bagi mengelakkan sebarang pergerakan terutama sepanjang PKP.

"Kami tidak membuat sebarang jualan atas talian juga. Jadi sekiranya ada mana-mana pihak yang menggunakan nama kami Tepung Pelita Paya Jaras untuk bulan Ramadan ini yang menjual secara atas talian, itu bukan daripada kami sebab kami tiada jualan atas talian Ramadan ini. Jumpa kami di tahun depan,"

Beliau mengakui keputusan untuk tidak membuat jualan Tepung Pelita terkenal itu tahun ini mungkin menjejaskan satu-satunya pendapatan beliau dan suami semasa bulan Ramadan.

Namun, baginya, keuntungan adalah perkara kedua, dan lebih penting adalah usaha memutuskan rantaian COVID-19.

Menurut Watie, beliau mempunyai lebih 100 ejen jualan yang menjual Tepung Pelitanya semasa Ramadan pada setiap tahun.

Watie mempunyai lebih 100 ejen jualan tepung pelita

Awal Pembukaan Tepung Pelita Paya Jaras

Operasi perniagaan Tepung Pelita Paya Jaras bermula sejak tahun 1999 dan hanya boleh didapati semasa bulan Ramadan.

Menurut Watie, semasa awal operasi perniagaan, beliau mengakui pelbagai cabaran terpaksa dilalui sebelum nama Tepung Pelita Paya Jaras menjadi sebutan.

"Pada mulanya, saya cuba bawa ke sekolah di Sungai Buloh. Mereka cakap pada mula tidak mahu mengambil kuih saya, namun saya bertegas untuk sedekahkan sahaja dua tray kuih kepada murid sekolah pada hari itu sebelum berlalu pergi. Pada keesokannya, mereka hubungi saya dan sejak itu bermulalah rutin saya membuat Tepung Pelita setiap pagi," ujarnya lagi.

Dari sekolah, beliau turut menghantar ke hotel, pasar-pasar malam dan bazar Ramadan.

"Dari situ saya mula membuat kuih setiap hari dan ada yang dihantar ke hotel dan pasar malam bukan sahaja di Paya Jaras, tetapi juga di pasar setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu. Saya juga mencari tapak di tempat lain sehingga setiap hari ada sahaja permintaan," tambahnya.

Keluarga sentiasa memberi sokongan dalam perniagaan

Malah, menceritakan pengalaman pahit sepanjang perniagaan, Watie mengatakan bagaimana beliau menitiskan air mata apabila jualannya tidak mendapat sambutan semasa mula-mula beroperasi dulu.

"Semasa di bazar dulu, masa itu sudah pukul 5 petang, ramai orang datang membeli juadah puasa tetapi hairannya hanya kuih saya tidak dibeli. Saya nak menangis masa itu sambil berdoa kepada Allah untuk memberikan rezeki kepada anak-anak.

"Namun, akhirnya pada pukul 6.30 petang orang datang serbu serentak. Saya menangis kegembiraan masa itu sebab sampai 20 tray licin dan sebab mulalah ilham untuk wujudkan tagline, Rasa Sebulan, Rindu Setahun," ujarnya.

Namun, walaupun tiada Tepung Pelita Paya Jaras tahun ini, pemilik kuih tradisional ini berharap tahun 2021 akan menjadi pembuka rezeki kepada peniaga-peniaga bermusim pada bulan Ramadan.

"Yang penting semua duduk di rumah, kita jumpa tahun depan," katanya.