Pekerja asing diwajibkan menjalani empat sesi pemeriksaan kesihatan dan saringan tambahan bermula 1 Januari 2018.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi mengelakkan peningkatan kes penyakit berjangkit yang berlaku di negara ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan bersetuju menambah kekerapan pemeriksaan kesihatan pekerja asing.

"Mulai 1 Januari 2018, pekerja asing diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan sedia ada (sebelum berlepas, dalam tempoh sebulan selepas berada di Malaysia, pada akhir tahun pertama dan akhir tahun kedua) serta saringan tambahan," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin (JKKPA-PATI) Ke-17 di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan kesihatan tambahan perlu dibuat setiap dua tahun sepanjang tempoh penggajian maksimum sepuluh tahun.

Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju meningkatkan kadar levi secara progresif
bagi menggalakkan penggajian pekerja tempatan dan mewujudkan persekitaran lebih kondusif.

"Mesyuarat jawatankuasa pada hari ini, turut mengambil maklum bahawa majikan juga lebih cenderung untuk menggajikan pekerja asing kerana kos yang lebih rendah.

"Kadar levi progresif berdasarkan bilangan pekerja asing yang digajikan akan dilaksanakan bermula 2019, selepas sesi libat urus bersama pihak industri dan stakeholders yang lain dibuat," ujarnya.

Menurutnya, berdasarkan statistik, bilangan pekerja asing berkurangan daripada 2.135 juta orang pada 2015 kepada 1.758 juta sehingga 31 Julai lalu.

Sementara itu, lapan kertas mesyuarat berkaitan pekerja asing dan PATI turut dibincangkan.

Ia termasuk cadangan penambahbaikan persekitaran penggajian pekerja asing dan cadangan model dan kadar baharu levi pekerja asing oleh Kementerian Sumber Manusia, dan cadangan memperkukuhkan semula pemeriksaan perubatan pekerja asing oleh Kementerian Kesihatan.