Kadar elaun bagi anggota sukarela Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dinaikkan RM2 sejam berkuat kuasa 1 Mac 2020, umum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof hari ini.

Elaun baharu itu melibatkan Pegawai Sukarela APM berpangkat Staf Muda dan ke atas iaitu daripada RM7.80 sejam kepada RM9.80 sejam; dan anggota sukarela lain-lain pangkat daripada Prebet hingga Pegawai Waran iaitu kepada RM8 sejam daripada RM6 sejam.

"Penambahan elaun ini melibatkan peruntukan bajet sebanyak RM24 juta setahun," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan ke pusat kuarantin COVID-19 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Mohd Redzuan berkata pengumuman kadar elaun baharu itu merupakan pengiktirafan kerajaan kepada APM atas sumbangan mereka dan diharap dapat menyuntik semangat mereka dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.

Ketika menghadapi pandemik COVID-19, katanya lebih 4,000 anggota sukarela APM bertugas membantu kerajaan mengawal bencana negara dan pusat kawalan operasi, menjaga kebajikan dan kesihatan orang dalam pemerhatian.

"Selain itu, anggota ini juga melaksanakan rondaan bagi menasihat dan memantau pematuhan kepada perintah yang dikeluarkan kerajaan, menyediakan bantuan logistik dan pembekalan bahan makanan kepada orang yang terjejas serta terputus bekalan," katanya.

-- BERNAMA