Sektor korporat digesa tidak terlalu memikirkan keuntungan dan terlupa akan kebajikan pelajar institusi pengajian tinggi yang mengikuti latihan praktikal dengan tidak membayar elaun kepada mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menekankan kepentingan pemberian elaun kepada pelajar terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan golongan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

Hal ini kerana masih banyak anak muda dalam kalangan gologan B40 dan M40 yang tidak mendapat pembelaan sewajarnya apabila mereka menjalani latihan praktikal, tetapi tidak mendapat elaun.

“Dengan sistem yang sedia ada, hanya mereka yang datang daripada keluarga yang berkemampuan dapat akses peluang kepada latihan praktikal.

“Bagaimana kami dapat membela nasib mereka yang berasal daripada keluarga B40 ataupun M40 yang tidak akan dapat akses peluang-peluang di ibu kota disebabkan tiada pembayaran elaun?

“Akhirnya, kebanyakan daripada pelajar yang saya hubungi tidak mengambil peluang itu dan gagal menyelesaikan modul praktikal. Ini menyebabkan pembelajaran mereka terhenti begitu sahaja,” kata Syed Saddiq pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Institut Sukan Negara (ISN).

Beliau juga akan membawakan cadangan supaya semua sektor membayar elaun kepada penuntut universiti yang mengikuti latihan praktikal dalam sesi Kabinet khas dalam masa terdekat.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju pada minggu lalu untuk mengadakan sesi Kabinet khas khusus untuk membincangkan isu anak muda dalam masa terdekat.

“Antara yang akan dibincangkan dalam sesi itu ialah isu latihan praktikal berbayar dan saya akan mengusulkan isu tersebut.

“Sebelum kami pastikan sektor swasta khususnya, memulakan latihan praktikal berbayar, kami perlu pastikan sektor kerajaan memulakannya dulu,” tambahnya.

Terdahulu, beliau memuat naik video berdurasi satu minit di laman sosial Twitter tentang cadangannya untuk membincangkan isu tersebut di sesi Kabinet khas: