Seramai empat orang dilaporkan cedera dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan termasuk sebuah treler di Jalan Batang Benar di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar berkata kejadian kira-kira 5.30 petang tadi itu, dipercayai berpunca apabila treler yang datang dari arah Pajam menuju ke Nilai itu, hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.

“Berikutan itu, treler tersebut telah merempuh sebuah Proton Waja, Perodua Kancil, Myvi, Honda City, Toyota Alphard, Proton Exora, Nissan Almera, Proton Wira, lori Nissan, Proton Wira, Proton Saga dan sebuah motosikal Modenas yang pada ketika itu bergerak di laluan bertentangan dari arah Nilai ke Pajam.

“Kemalangan itu menyebabkan seramai empat pemandu cedera iaitu pemandu treler mengalami luka di tangan kanan, pemandu Perodua Kancil patah kaki kanan, pemandu Proton Exora luka di tangan kanan dan pemandu lori Nissan mengalami luka tangan kanan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Foto JBPM

Foto JBPM

Foto JBPM

Beliau berkata ujian saringan air kencing akan dilakukan ke atas pemandu treler tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Marzukee turut menjelaskan tiada kenderaan dilaporkan terbakar dalam kejadian itu.

-- BERNAMA