Bunyi letupan dan limpahan air akibat tangki pecah mencetuskan kekecohan di pekarangan bangunan Kompleks Teruntum di Kuantan tengah hari tadi.

Kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu mengakibatkan runtuhan tembok batu dari tingkat empat bangunan menyebabkan empat cedera manakala sekurangnya lima motosikal dan lima kereta terjejas.

Menurut dua saksi yang merupakan peniaga gerai berhampiran lokasi kejadian, mereka yang ketika itu sedang duduk di khemah jualan panik apabila terdengar bunyi letupan dari bangunan berkenaan yang terletak kira-kira 100 meter dari tapak perniagaan mereka.

"Bunyi macam satu letupan dan lepas kedengaran bunyi air mencurah-curah. Saya nampak batu-bata terlontar ke arah kawasan parkir kereta. (Kami yang) takut dan sram pun larilah, bimbang bangunan ni akan runtuh," ujar saksi, Tuan Nur Aisyah Tuan Mohd. Nor.

Seorang lagi saksi, Nurabaitul Fatihah Mohd Razlan turut berkongsi perasaan khuatirnya: "Saya rasa macam nak tinggalkan saja gerai sebab memang menakutkan. Bunyi seperti tanah bergegar."

Sementara itu, semua premis dan pejabat kerajaan yang beroperasi di Kompleks Teruntum diarahkan menghentikan operasi mereka berkuatkuasa serta-merta atas faktor keselamatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, keputusan itu dibuat selepas meninjau kerosakan struktur yang berlaku.

“Memang kita minta (bangunan) dikosongkan untuk sementara sehingga kita menjalankan pemeriksaan bersama dengan pihak berkuasa khususnya Jabatan Kerja Raya.

"Setelah kita sahkan premis ini selamat dan boleh digunakan, kita akan beri kebenaran kepada setiap urusan dan pengurusan pejabat di sini kembali beroperasi," ujar Abdul Wahab.

Seramai 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Bukit Ubi, Kuantan, terbabit dalam operasi pengosongan bangunan itu.

Mereka turut dibantu pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kompleks Teruntum mula beroperasi pada Januari 1980 dan mempunyai 22 tingkat dengan tiga daripadanya menempatkan pelbagai premis perniagaan.

Difahamkan, kali terakhir pihak pengurusan bangunan itu menukarkan tangki air yang berada di tingkat empat kompleks itu ialah kira-kira 15 tahun lalu.