Lebih empat hektar kawasan ladang sawit tanah gambut dan belukar di sekutar Beris Lalang terbakar susulan fenomena cuaca panas.

Kebakaran di kawasan tanah gambut itu berlaku sejak lima hari lalu dan memusnahkan tanaman sawit yang hampir matang.

Menurut komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bachok, Ibrahim Roni, sejumlah 11 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bachok bertugas mengawal dan memadamkan kebakaran tanah gambut.

“Kaedah pemadaman menggunakan pam mudah alih dan Wajex Pump yang melibatkan empat pancutan. Operais pemadaman bermula dari 9 pagi hingga 6 petang,” katanya.

Beliau berkata operasi pemadaman diteruskan hari ini bagi mengawal api yang dipercayai merebak dari dalam tanah gambut.

Sementara itu Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan yang melakukan penilaian ke kawasan berkenaan pagi Jumaat memaklumkan pihaknya akan membantu pihak bomba mewujudkan saliran air dari telaga tiub bagi memadamkan api dalma tanah.

Menurut Pengarah JAS Kelantan, Hamzah Mohamed, berkata meskipun cuaca kering dan panas mempercepatkan pergerakan api namun beliau tidak menolak manusia menjadi antara punca kebakaran.

“Kita tidak boleh sahkan lagi punca kebakaran di sini tetapi besar kemungkinan ini berlaku akibat kegiatan manusia tetapi kita belum ada bukti jelas,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka semasa musim panas ini.