Tutup

Empat individu ditahan di Melaka, Kedah, Pahang sebar berita palsu koronavirus

Empat individu ditahan di Melaka, Kedah, Pahang sebar berita palsu koronavirus
Empat lagi individu ditahan kerana disyaki menyebarkan berita palsu mengenai koronavirus di media sosial. - Gambar hiasan/Unsplash.
KUALA LUMPUR: Empat lagi individu yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan jangkitan koronavirus ditahan.

Keempat-empat mereka ditahan secara berasingan oleh pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), untuk dirakam keterangan masing-masing.

SKMM dalam kenyataan media berkata, proses penahanan itu dilakukan menerusi dua operasi di Melaka dan masing-masing di Kedah serta Pahang antara pukul 11 pagi hingga 5 petang.

"Di Alor Setar, seorang pengajar sambilan berumur 49 tahun telah ditahan pukul 12 tengah hari kerana disyaki telah memuat naik kandungan palsu wabak novel koronavirus (2019-nCov) di laman Facebook pada 25 Januari lalu.
"Seterusnya, dua pembantu farmasi yang berumur 25 dan 30 tahun ditahan di Peringgit serta Merlimau, Melaka sekitar pukul 4 petang bagi membantu siasatan berhubung kandungan palsu koronavirus yang dimuat naik di laman Facebook, pada 26 Januari lalu," katanya pada Rabu.

Kenyataan media SKMM mengenai penahanan empat lagi individu yang sebar berita palsu mengenai koronavirus.

Sementara itu, seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berumur 24 tahun pula ditahan pukul 4.15 petang di Kuantan, Pahang kerana disyaki telah berkongsi kandungan palsu koronavirus di laman Twitter, pada 27 Januari 2020.
Kata kenyataan itu, empat telefon pintar, lima kad SIM dan dua kad memori yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kandungan palsu berkaitan koronavirus di media sosial turut dirampas daripada keempat-empat suspek berkenaan.

Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya, dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

BACA: Polis siasat lima kes berita palsu berkaitan koronavirus

B
ACA: 
Koronavirus: Suspek sebar berita palsu ditahan


Tag: Facebook, SKMM, Kedah, Pahang, melaka, koronavirus, berita palsu



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.