Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura pada Selasa mengesahkan empat lagi kes positif jangkitan COVID-19 di republik itu, seorang daripadanya adalah wanita warga Malaysia.

Perkembangan terbaru ini menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini 81 orang.

MOH dalam kenyataan berkata wanita rakyat Malaysia berusia 35 tahun itu pemegang Pas Kerja Singapura dan tiada rekod perjalanan ke China baru-baru ini.

Wanita itu adalah ahli keluarga Kes 72, seorang lelaki warga China berusia 40 tahun, merupakan pemegang Pas Kerja Singapura, juga tiada sejarah perjalanan ke China baru-baru ini.

MOH berkata warga Malaysia itu yang kini ditempatkan di bilik isolasi di Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit (NCID), dilaporkan mendapat gejala itu pada 12 Feb.

BACA: COVID-19: Thailand tingkat pemeriksaan penumpang dari negara rekod jangkitan tempatan

Sebaik dikenal pasti sebagai kontak rapat Kes 72, wanita itu telah dikuarantin di rumahnya dari 15 Feb, menurut kementerian itu.

Dia dihantar ke NCID menaiki ambulans dua hari kemudian dan keputusan ujian seterusnya mengesahkan dia dijangkiti COVID-19 pada hari yang sama.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

Menurut MOH, tiga kes baharu yang lain, mempunyai kaitan dengan gereja The Grace Assembly of God, menjadikan jumlah kes kepada 21.

Sehingga kini, MOH berkata 29 kes pulih sepenuhnya daripada jangkitan itu dan telah keluar hospital.

BACA: COVID-19: Lelaki Thai jadi mangsa pertama jenayah kebencian di London

Daripada 52 kes yang disahkan itu yang masih ditempatkan di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau bertambah baik manakala empat dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, katanya.

Sehingga tengah hari, MOH telah mengenal pasti 2,486 kontak rapat, daripada itu 1,160 dikuarantin dan 1,326 telah selesai menjalani kuarantin.

-- BERNAMA