Empat daripada tujuh kes Japanese Encephalitis (JE) yang dilaporkan di Pulau Pinang sejak Januari hingga semalam disahkan negatif, menurut Jabatan Kesihatan (JKN) Pulau Pinang.

Berikutan itu, jabatan itu dalam kenyataan pada Khamis, berkata tiga kes telah disahkan positif iaitu dua kes di Sungai Bakap di kawasan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan satu di Balik Pulau di daerah Barat Daya.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan umur serta jantina pesakit.

"Kami menjalankan pemantauan rapi pesakit yang mengalami tanda dan gejala JE seperti demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, gejala neurologi, lemah dan gangguan pergerakan anggota badan.

"Bagi individu yang mengalami tanda-tanda tersebut perlu berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan segera. Keliru dan rasa celaru (agitation) boleh berlaku di peringkat awal penyakit serta sawan berlaku dalam 66 peratus pesakit terutamanya kanak-kanak," menurut kenyataan itu.

Menurutnya, orang ramai juga harus mengambil langkah-langkah membendung penyakit JE merangkumi aktiviti sekitar halaman rumah sendiri seperti memastikan sistem perparitan mengalir sempurna, mengelakkan air bertakung, menggunakan racun semburan serangga aerosol dan ubat sapu mengelak nyamuk.

JKN turut menasihatkan penternak khinzir supaya memastikan kawasan ternakan bersih serta mematuhi amalan penternakan baik dan modenisasikan cara penternakan kepada sistem baharu yang bersih iaitu penternakan tertutup di mana risiko penyakit dikurangkan.

Menurut jabatan itu, pelbagai pelbagai aktiviti dilaksanakan untuk membendung JE iaitu rawatan pesakit di klinik kesihatan dan hospital kerajaan, siasatan kes yang dinotifikasi, pengesanan kes secara aktif di sekitar kawasan punca pembiakan dan siasatan entomologi.

-- BERNAMA