Empat lelaki ditahan bersama 2,211 karton rokok pelbagai jenama dalam serbuan yang dilancarkan Polis Diraja Malaysia dari Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Hidayat Batu Empat, Jalan Apas di sini pada Selasa.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 7.30 malam, seorang lelaki tempatan dan tiga lelaki warga asing berumur antara 24 dan 54 tahun didapati sedang memindahkan kotak-kotak yang dibungkus dengan plastik ke dalam tiga buah kenderaan di sebuah garaj kereta.

Pegawai pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Supt Yacob Murad berkata, kegiatan lelaki berkenaan telah dipantau Bahagian Cawangan Risik dan Tiger Platoon dari batalion tersebut, hasil aduan orang ramai.

Pemeriksaan mendapati terdapat 72 kotak berisi 2,211 karton rokok seludup pelbagai jenama dengan nilai anggaran RM289,532.40, katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Yacob berkata, pihaknya turut menahan tiga kereta jenis Proton Waja yang dipercayai digunakan dalam aktiviti penyeludupan rokok tersebut.




Keempat-empat suspek lelaki tersebut ditahan bersama barang rampasan termasuk tiga buah kenderaan.

Mereka dibawa ke ibu pejabat Batalion 14 PGA Tawau untuk siasatan lanjut.

Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk tiga buah kenderaan itu dianggarkan berjumlah RM409,532.40.