Dua warga emas dan dua kanak-kanak maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Sepang hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada kira-kira 6.08 pagi dan keempat-empat mangsa ditemukan selepas api dipadamkan.

Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Chia Tee Nang, 73, Lim Mai Shak, 68, Chia Yuan Bin, 3, dan seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang masih belum dikenal pasti.

"Rumah berkeluasan 80 x 80 kaki persegi itu musnah sepenuhnya dalam kebakaran tersebut," kata Mohd Sani ketika dihubungi.

Beliau berkata mangsa pertama ditemukan pada 6.43 pagi, mangsa kedua 6.47 pagi, manakala mangsa ketiga dan keempat ditemukan pada 6.58 pagi.