Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala empat lain cedera parah dalam satu kemalangan melibatkan lapan buah kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) tengah hari tadi.

Laporan awal menyebut kemalangan berlaku di kilometer 446 Lebuh Raya PLUS.

Menurut Penolong Kanan Penguasa Bomba dan Penyelamat Rawang, Bonny Martin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12:02 tengah hari dan bertolak ke tempat kejadian dalam seminit kemudian.

“Kami tiba pada 12:30 tengah hari kerana terdapat halangan sesakan di susur keluar tol Rawang yang melambatkan pergerakan di tempat kejadian.

“Sebaik sahaja tiba di tempat kejadian, kami dapati terdapat lapan buah kenderaan terlibat dalam kemalangan tersebut.

“Laporan awal mendapati bahawa sebuah treler tanpa muatan telah melanggar sebuah kereta Myvi dan kemudian bucu sebuah bas yang menyebabkannya terbabas ke haluan bertentangan.

“Treler tersebut kemudian merempuh tiga lagi kenderaan termasuk dua kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya.

Bonny Martin turut mengesahkan empat mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian dan empat lagi mengalami kecederaan parah dan sudah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dari tiga daerah Sungai Buloh, Rawang dan Selayang dengan kekuatan 20 anggota telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Kenderaan terlibat adalah sebuah treler, bas, dua kenderaan pelbagai guna (MPV) dan tiga buah kenderaan jenis BMW, Nissan Almera dan Myvi Perodua.

Kejadian tersebut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang 10 kilometer di lebuh raya PLUS.


Salah satu kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di KM 446 Lebuh Raya PLUS pada tengah hari tadi. - Ihsan JBPM

Kenderaan yang remuk dalam kemalangan di km 446, Lebuh Raya PLUS di sini. - Ihsan JBPM