Empat mayat daripada enam mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih semalam dituntut anggota keluarga masing-masing hari ini.

Satu lagi mayat iaitu, juruterbang warga Amerika Syarikat Kapten Clifford William Fournier akan dituntut esok, manakala satu mayat lagi dipercayai pembantu operasi, masih belum dikenal pasti oleh ahli keluarganya.

Menurut jurucakap Hospital Kuala Lumpur (HKL), wakil kedutaan Amerika Syarikat telah berjumpa dengan pihak hospital pagi tadi untuk proses pengecaman mayat dan dokumentasi Clifford.

"Status pembantu operasi tidak diketahui, setakat ini belum ada anggota keluarga yang menuntut," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik, HKL di sini, hari ini.

Terdahulu, jenazah pertama Pengerusi Perbadanan PR1MA Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik HKL pada 11.35 pagi diikuti Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias.

Jenazah Jamaluddin akan disemadikan di Makam Masjid Negara selepas solat Asar manakala Azlin di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Batu 13, Kajang.

Sementara itu, jenazah pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan B Seran, 31, pula dibawa keluar sejam kemudian untuk disembahyangkan di Masjid Bukit Aman di sini sebelum diterbangkan ke Kota Kinabalu dari pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang jam 2.30 petang.

Menurut sepupu Razakan, Marnis Sidan, 30, jenazah Allahyarham Razakan dijangka diterbangkan ke Kota Kinabalu pada 2.30 petang ini untuk dikebumikan di tanah perkuburan pekan Tuaran, Sabah, petang ini.

"Setibanya di Kota Kinabalu, jenazah akan dibawa menaiki helikopter ke Tuaran untuk dikebumikan petang ini," katanya.

Marnis berkata Razakan berkhidmat sebagai anggota polis selama 10 tahun itu meninggalkan seorang isteri, Setinurafene Anon serta dua anak yang berumur tujuh dan dua tahun.

Mayat mendiang Datuk Tan Huat Seang pula dibawa keluar dari HKL pukul 1.25 tengah hari ke Nilai Memorial Park untuk dibakar sebelum abu mayat dibawa ke kampung halamannya di Alor Setar.