Empat nelayan hilang di Pelabuhan Klang ditemui selamat

Empat nelayan hilang di Pelabuhan Klang ditemui selamat
Menurut Mohammad Rosli, seorang daripada mangsa memaklumkan bot mereka telah diberi bateri baharu sebelum diiringi pulang ke Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah. - Gambar fail
SHAH ALAM: Empat nelayan lelaki yang dikhuatiri hilang di Pelabuhan Klang, dekat sini semalam dijumpai di perairan berhampiran Permatang Sedepa, petang tadi.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor, Kapten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata keempat-empat mangsa berkenaan ditemui selamat oleh sebuah bot nelayan Pulau Ketam di lokasi terbabit kira-kira pukul 5.30 petang.

Empat mangsa berkenaan adalah dua adik-beradik iaitu Mohd Faisol, 38, dan Muhammad Firdaus Romle, 25, selain rakan mereka, Mohd Amirul Adli Khairi, 25, dan seorang lagi yang dikenali sebagai Nazaruddin.

Dalam kejadian pukul 11 pagi semalam, keempat-empat mangsa yang menaiki sebuah bot gentian kaca dikhuatiri hilang berhampiran boya merah putih di Pelabuhan Barat, dalam jarak 0.3 batu nautika dari selatan Tanjung Mahang, Pelabuhan Klang.
Menurut Mohammad Rosli, mangsa telah keluar ke laut sejak Ahad lepas namun bot mereka hanyut ke Pulau Ketam hingga ke Permatang Sedepa sebelum ditemui oleh bot nelayan lain dan ditunda ke jeti Pulau Ketam.

"Bot mereka gagal dihidupkan kira-kita pukul 5.30 pagi semalam kerana bateri yang lemah. Bot tersebut hanya terapung dan mula dihanyutkan lebih kurang pukul 7 malam semalam ke perairan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Menurut beliau, seorang daripada mangsa, Mohd Amirul Adli memaklumkan bot mereka telah diberi bateri baharu sebelum diiringi pulang ke Jeti Sungai Kembong, Pulau Indah.

Katanya, kesemua mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan tiba di jeti berkenaan pada pukul 8.30 malam tadi.

"Operasi mencari dan menyelamat yang melibatkan hampir 50 orang pegawai dan anggota serta aset-aset terdiri daripada aset APMM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pasukan Polis Marin telah ditamatkan.

"Terima kasih atas usaha setiap agensi yang terlibat dalam menjalankan tugas dengan penuh komited demi menyelamatkan nyawa. Tidak dilupakan juga kerjasama komuniti nelayan yang turut memainkan peranan dalam operasi berkenaan," katanya.

-- BERNAMA