Lambaian tangan empat orang mangsa yang terkapai-kapai di permukaan laut berjaya menyelamatkan mereka daripada lemas, apabila anggota bomba yang secara kebetulan berada di lokasi menyedari kejadian itu.

Mengulas insiden yang berlaku di Pantai Pasir Bogak, di sini pada Ahad, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memberitahu, anggotanya baru selesai melakukan pemeriksaan peralatan jentera dan peralatan bermotor di kawasan tersebut.

Katanya, semasa membuat ujian perjalanan jentera di Jalan Pasir Bogak, pihaknya ternampak lambaian tangan di permukaan laut, dan mendapati terdapat empat orang mangsa terlibat.

"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor bertindak menyelamatkan mangsa dengan berenang dari persisiran pantai sejauh empat hingga lima meter menuju ke arah mangsa.

"Penyelamat mengambil tindakan menggunakan teknik renangan menarik mangsa ke persisiran pantai Pasir Bogak, jumlah mangsa ialah empat orang.

"Mangsa berjaya di bawa ke persisiran pantai dan didapati tiga wanita dan seorang lelaki berumur lingkungan13 hingga 46 tahun terlibat," katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, pasukan penyelamat seterusnya membuat pemeriksaan ke atas mangsa sebelum menghubungi pihak Hospital Desa Pangkor untuk mendapatkan khidmat ambulans.

Kesemua mangsa diserahkan kepada pihak hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.