Empat penjenayah ditembak mati polis di tebing Sungai Sekamat berdekatan Plaza Tol Sungai Long di Lebuh Raya Lingkaran-Kajang (SILK) pada pagi Khamis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat memaklumkan, dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, kelima-lima suspek berusia antara 20 hingga 30 tahun dipercayai melarikan diri selepas cuba memasuki sebuah rumah banglo dua tingkat di Saujana Impian.

Menurut Abdul Samah, pemilik rumah yang menyedari kehadiran suspek mengaktifkan penggera dan menghubungi polis.

Ketika kejadian, sepasukan polis daripada Unit Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor sedang melakukan rondaan dan terserempak dengan suspek di lokasi.

Suspek bertindak agresif menyerang polis termasuk menggunakan parang serta senjata tajam memaksa polis melepaskan tembakan.

Empat suspek mati di tempat kejadian manakala seorang lagi suspek melarikan diri dan dipercayai cedera terkena tembakan.

Sehubungan itu, Abdul Samah memohon orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau suspek yang cedera akibat tembakan segera menghubungi pihak polis.