Polis Perak menahan empat sekeluarga yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan sadis sekurang-kurangnya empat individu di sekitar daerah Tapah baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata kesemua suspek disyaki terlibat secara langsung dalam kes orang hilang sejak tahun 2012 yang dipercayai dibunuh dengan kejam menggunakan modus operandi yang sama iaitu mangsa dibakar lalu dibuang ke dalam sungai.

Jelasnya, pihaknya telah menjalankan siasatan sejak beberapa hari lepas dan melaksanakan tangkapan ke atas keluarga yang beralamat di Kampung Sungai Lah, Tapah pada 26 Oktober lepas.

Menurutnya, suspek utama bagi kes tersebut adalah seorang lelaki, 57, yang bekerja sebagai mekanik di kawasan Tapah yang disyaki melakukan perbuatan tersebut dengan isterinya iaitu seorang surirumah berusia 54, dan dua lagi suspek iaitu anak lelaki mereka berusia 17 dan 20 tahun.

“Mangsa telah dibunuh dan dibakar di kawasan bengkel suspek dan sisa pembakaran telah dibuang ke dalam sungai berhampiran manakala motosikal mangsa yang pertama itu telah ditinggalkan di tepi jalan menghala ke Cameron Highlands.

“Polis meneruskan siasatan terhadap suspek-suspek yang ditangkap,” ujar Hasnan yang menambah, seramai tiga lagi mangsa orang hilang di kawasan Tapah dipercayai telah dibunuh dan dibakar dengan modus operandi sama.

Menurut beliau, tiga lagi mangsa hilang adalah seorang perempuan pengusaha bas pesiaran, 56, lelaki yang bekerja sebagai jurujual alat ganti, 54, dan seorang lagi lelaki berumur 36 tahun yang merupakan pekerja bengkel suspek.


Tambahnya, pihak forensik IPK Perak dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian dan telah menghantar kesemua sampel tulang yang ditemui ke hospital untuk bedah siasatan dan keluarga akan dipanggil bagi sesi pengecaman.

Motif kes dipercayai melibatkan kes hutang dan kes curi barang majikan.

Suspek pertama mempunyai tujuh rekod jenayah membabitkan curi, pecah amanah, pecah rumah dan menipu.

“Sehubungan itu, polis meminta kerjasama semua pihak yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil membantu siasatan,” kata Hasnan.

Kesemua suspek akan direman sehingga 6 November bagi membantu siasatan.