Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa empat sekeluarga, termasuk bayi, di Kilometer 37 Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen di Sungai Siput, malam tadi ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Lelaki berusia 26 tahun itu ditahan tengah malam tadi selepas selesai mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Siput akibat cedera.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, dia direman bermula hari ini hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujian saringan air kencing terhadap pemandu treler itu mendapati dia negatif daripada dadah.

“Bagaimanapun, kita juga akan melihat laporan daripada pihak hospital berkaitan dengan sampel darah yang sudah dihantar untuk ujian lanjut,” katanya hari ini.

Mohd Khaizam berkata, anak sulung mangsa yang cedera parah pula ketika ini masih lagi dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan dijangka menjalani pembedahan.

Dalam kejadian kira-kira 10.20 malam tadi, empat sekeluarga, termasuk bayi lelaki berusia 16 bulan, maut selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah treler di KM37, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar berhampiran Kampung Salak Stesyen, di sini.

Dalam kejadian itu, Lans Koperal Mohamad Faiz Bakhari, 28, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Siput bersama isterinya, Nik Iedayu Nik Hassan, 27; anak bongsunya, Muhammad Faqih Irsyad, 16 bulan; serta kakak iparnya, Nik Ifeka, 28, disahkan maut di tempat kejadian.

Anak sulung mangsa, Muhammad Fariz Iskandar berusia 3 tahun dilaporkan parah dan dihantar untuk rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

Siasatan awal mendapati, treler muatan bahan binaan dipandu dari Ipoh itu terbabas memasuki laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kereta dari arah Kuala Kangsar yang tidak sempat mengelak.

BACA: 4 sekeluarga maut nahas kereta bertembung treler