Setelah empat tahun tewas akibat gugup pentas, Mohd Arfaizal Muhammad Arsat akhirnya muncul juara pertandingan Pidato Piala Gabenor Bank Negara (BNM) 2019.

Mohd Arfaizal, 42, berjaya menarik perhatian juri dengan memimik lenggok sebutan Duta Perancis ke Malaysia Frederic Laplanche yang mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad setelah dilantik sebagai Perdana Menteri ketujuh, dalam satu video pada Mei tahun lalu.

"Saya mengkaji cara sebutan Duta Perancis itu, apa yang dilafazkan olehnya dan cuba membawanya dalam bentuk santai. Tak sangka ia mampu menarik perhatian juri," katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Melakukan persiapan lebih tiga minggu bagi mengupas tajuk 'Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Industri Kewangan Masih Belum Meluas: Cabaran dan Kekangan', pegawai di Jabatan Operasi Kredit Bank Muamalat Malaysia Bhd itu mengakui musuh utamanya sepanjang penyertaan dalam pidato adalah gugup pentas.

"Pada tahun 2015 hinggalah 2018, saya tak dapat habiskan pidato sebab gugup dan akibatnya, persembahan saya jadi berterabur. Tahun lepas, saya dapat buat dengan baik pada pusingan saringan tetapi, gugup pada final," katanya.

Pertandingan edisi kesembilan itu turut menyaksikan peserta dari Zurich Life Insurance Malaysia Berhad, Mohd Afifi Zahari muncul sebagai naib johan manakala Panglima Jagumba J. Padasian dari Citibank di tempat ketiga.

Juara membawa pulang wang tunai RM5,000, piala dan medalion tembaga keluaran khas, sijil penyertaan dan buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM3,000 dan RM2,000.

Dalam pada itu, Timbalan Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghafour berkata pihaknya akan terus komited dalam memastikan bahasa kebangsaan dimartabatkan dalam sektor kewangan.

"Pertandingan ini juga mempamerkan kemampuan bahasa kebangsaan untuk membicarakan hal ehwal ekonomi dan kewangan, lengkap dengan istilah-istilah yang mampu menerangkan pelbagai konsep dan perkara teknikal dalam sektor ekonomi dan kewangan," katanya.

Bagi Ketua Pengarah DBP Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, pertandingan itu banyak memberi impak kepada kakitangan sektor bank dan kewangan dalam memartabatkan bahasa Melayu.

"Selama ini kita menganggap bank sentiasa berurusan dalam bahasa Inggeris tetapi hari ini kita dapat menyaksikan pegawai bank sangat berbakat dan boleh menggunakan bahasa kebangsaan dengan baik dan bermutu. Kejayaan ini adalah usaha BNM untuk memberi nilai ekonomi kepada bahasa Melayu.

"Dalam sistem perbankan, memang ada kesedaran dalam penggunaan bahasa Melayu apabila kita melihat beberapa polisi dan borang menggunakan bahasa Melayu," katanya.

-- BERNAMA