Empat warga asing cedera pelantar bangunan runtuh

Empat warga asing cedera pelantar bangunan runtuh
Mangsa dibawa keluar kira-kira satu jam kemudian dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. - Foto ihsan JBPM
KUALA LUMPUR: Empat pekerja warga asing dilaporkan cedera selepas pelantar bangunan yang sedang dalam pembinaan di Wangsa Maju di sini, runtuh malam ini.

Pegawai Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur Kapten Shahrul Kamar Mohd Johari berkata empat warganegara Bangladesh berusia 23 hingga 31 tahun itu dikatakan sedang bekerja ketika pelantar setinggi 13 meter itu runtuh.

"Kami menerima maklumat berhubung kejadian di tapak pembinaan pangsapuri itu pada kira-kira 9 malam dan tiba di lokasi 10 minit kemudian," katanya ketika dihubungi Bernama berhubung insiden di Jalan Wangsa Delima 8 itu.

Shahrul Kamar berkata mangsa dibawa keluar kira-kira satu jam kemudian dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

-- BERNAMA