Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan empat suspek warga negara Yaman yang ditahan pada 26 Februari di Serdang dan Cyberjaya, merancang untuk menyerang Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz Al-Saud.

Khalid berkata, kumpulan itu disyaki menganggotai sebuah kumpulan pemberontak di negara berkenaan merancang berbuat demikian sewaktu pemimpin negara Arab Saudi itu mengadakan lawatan di ibu negara.

Bagaimanapun rancangan mereka itu gagal apabila ditahan polis.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati keempat-empat suspek itu turut terbabit dalam aktiviti sindiket pemalsuan dokumen perjalanan susulan penemuan pelbagai pasport antarabangsa ketika serbuan dilakukan.

"Mereka terlibat dalam pengedaran dadah, mengeluarkan dokumen perjalanan palsu dan merancang menyerang kerabat Arab Saudi semasa lawatan diraja itu baru-baru ini," katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Penguatkuasaan Dadah Antarabangsa (IDEC) - Rantau Timur di Bukit Jambul, Pulau Pinang pada Selasa.

Pada Ahad, polis telah menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga tempatan selepas disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas menerusi beberapa siri serbuan di Selangor dan ibu negara pada 21 hingga 26 Februari lepas.

Kesemua tujuh suspek berusia antara 28 hingga 41 tahun yang ditahan itu terdiri daripada empat lelaki warga Ye­men, serta seorang warga Indonesia, Asia Timur dan warga tempatan.

Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Bab VIA - Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Akta 747).

Seorang suspek yang ditahan turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963.