Tutup

Enam acara utama sempena Istiadat Pertabalan Agong

Enam acara utama sempena Istiadat Pertabalan Agong
Sebanyak enam acara utama telah disusun atur sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula Khamis ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebanyak enam acara utama telah disusun atur sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XVI, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula Khamis ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Roziah Abudin berkata kesemua acara itu ditentukan melalui Jawatankuasa Khas Istiadat Pertabalan yang dipengerusikan Menteri di JPM Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa.
Roziah berkata acara itu akan dimulakan dengan Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat pada Khamis ini di Masjid Negara, Istiadat Pertabalan pada 30 Julai di Balairung Seri Istana Negara dan diikuti Majlis Santapan Diraja pada keesokan harinya di Dewan Santapan Utama Istana Negara.

Tiga lagi acara lain ialah Lawatan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Hospital Rehabilitasi Cheras (1 Ogos), Pameran Raja Kita di Muzium Diraja di sini (5 Ogos hingga 5 Nov) serta Khutbah Khas dan Solat Jumaat di Masjid Putra, Putrajaya pada 2 Ogos.
Roziah berkata demikian ketika menjadi tetamu khas slot Prisma yang disiarkan di Selangor FM hari ini.

Beliau berkata rakyat jelata dialu-alukan untuk melibatkan diri dalam beberapa acara terbuka seperti Majlis Bacaan Yasin dan Solat Hajat serta Khutbah Khas dan Solat Jumaat, sekali gus memberi peluang kepada rakyat untuk mendekati dan melahirkan tanda menjunjung kasih kepada Seri Paduka berdua.

Bagi Istiadat Pertabalan yang merupakan acara utama, Ruziah berkata ia akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan rakyat boleh memanfaatkan hari kelepasan am pada hari itu untuk menyaksikan istiadat bersejarah itu.

"Institusi Yang di-Pertuan Agong ini merupakan payung kedaulatan negara dan merupakan simbol perpaduan, lambang kestabilan dan kemegahan negara, oleh kerana itu kerajaan amat berharap supaya seluruh rakyat bersama-sama menghayati istiadat ini," katanya.

Beliau berkata, kerajaan menggalakkan semua pihak termasuk kementerian, agensi dan organisasi swasta menyemarakkan istiadat pertabalan itu dengan menganjurkan aktiviti yang menjunjung sistem raja berperlembagaan dan institusi Yang di-Pertuan Agong.