Seramai enam senator baharu mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini susulan pengumuman pelantikan mereka menyertai kabinet semalam.

Upacara angkat sumpah itu dilakukan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S.A. Vigneswaran di Bangunan Parlimen di sini.

Mereka ialah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang akan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui Kementerian Kewangan.

Yang lain ialah Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I) dan Naib Presiden MCA Datuk Lim Ban Hong sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa.

Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar); dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa ARMADA Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan).

BACA: Kabinet baharu: Enam Ahli Dewan Negara angkat sumpah esok - YDP

BACA: Muhyiddin lantik 4 menteri kanan, bantu selaras hal ehwal Kabinet



Kesemua mereka dipilih buat kali pertama menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong bagi tempoh tiga tahun susulan pelantikan menyertai kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Vigneswaran dalam ucapannya menzahirkan ucapan tahniah kepada mereka yang mengangkat sumpah hari ini dan berharap mereka memberikan perkhidmatan terbaik demi kepentingan negara.

Vigneswaran dalam satu kenyataan semalam menyatakan Majlis Angkat Sumpah mereka adalah selaras dengan Peruntukan 4(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara.

"Pelantikan ini telah mendapat perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berdasarkan perenggan (b) Fasal (1) Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan,” kata Vigneswaran.

Semalam, Muhyiddin mengumumkan barisan kabinetnya yang merangkumi 31 menteri serta 38 timbalan menteri.

-- BERNAMA