Sekumpulan pekerja syarikat kejuruteraan tempatan, Scomi Engineering Bhd, hari ini mendakwa majikan mereka gagal melunaskan gaji yang tertunggak hampir enam bulan secara kumulatif.

Wakil pekerja Saiful Afendi Mohad Rais, 52 tahun, berkata keadaan itu telah berlarutan dan mereka tidak lagi mampu bersabar.

Malahan sebahagian mereka seakan digantung tidak bertali sehingga ada yang terpaksa meneruskan kehidupan dengan bekerja sambilan seperti memotong rumput dan bekerja dengan syarikat e-hailing.

“Tujuan kami memanggil media hari ini kerana kami tidak lagi mampu bertahan. Lebih menyedihkan pihak majikan telah tidak menguruskan pembayaran berwajib termasuk caruman KWSP, Socso serta lain-lain.

"Kemuncaknya pada November 2018, jumlah gaji pekerja secara kumulatif telah tertunggak sebanyak enam bulan.

"Walaupun slip gaji dikemas kini hingga Oktober 2018, namun tiada agihan gaji dibuat,” katanya pada sidang media di sebuah restoran di Bangsar, di sini.

Justeru, kesemua mereka menuntut agar syarikat induknya mengambil perhatian serius terhadap kegagalan yang dilakukan oleh anak syarikatnya itu.

Tambah beliau, perkara ini telahpun dimaklumkan kepada Jabatan Tenaga kerja pada Oktober lalu dan pihaknya dipanggil untuk perjumpaan pada 26 November ini.

Selain itu, kilang syarikat itu yang terletak di Rawang juga didakwa telah ditutup sepenuhnya pada 7 Julai 2018.

“Pada masa yang sama juga elaun kerja lebih masa, elaun kenderaan, tuntutan perubatan juga sudah tertunggak.

"Malah ada dalam kalangan kami yang terpaksa menyerahkan hak milik kenderaan, kediaman, menggadaikan harta dan setengah daripadanya sudah dalam proses kebakrapan,” katanya.

Astro AWANI sudah menghubungi syarikat berkenaan dan dimaklumkan bahawa satu sidang media akan diadakan pada Jumaat (esok) untuk menjelaskan perkara ini.