Enam jawatankuasa bakal dibentuk di bawah Parlimen

Enam jawatankuasa bakal dibentuk di bawah Parlimen
Mohd Rashid yakin proses reformasi Parlimen yang akan dilakukan institusi itu akan mengambil masa kurang dua tahun. --fotoBERNAMA / Fail
KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya enam jawatankuasa baharu akan ditubuhkan di bawah Parlimen seiring proses reformasi institusi penggubal undang-undang itu.

Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata sebuah jawatankuasa khas turut dibentuk untuk memantau sembilan agensi yang bakal diletakkan di bawah Parlimen.

"Itu bukan satu tugas yang mudah di mana memang ada satu jawatankuasa khas yang akan membincangkan perkara ini.

"Satu hari nanti apabila Parlimen mengawal agensi serta suruhanjaya, ia perlu kepada Parlimen yang cukup mantap, termasuk dari segi pentadbiran dan belanjawan," katanya dalam temubual eksklusif kepada Astro AWANI semalam.
Difahamkan, sembilan agensi yang bakal diletakkan di bawah Parlimen adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara (JAN), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Pejabat Pendakwa Raya Negara, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Parlimen Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mohd Rashid bagaimanapun enggan mengesahkan secara spesifik nama agensi dan suruhanjaya tersebut, termasuk jawatankuasa khas yang akan dibentuk.

Beliau pada masa sama yakin proses reformasi Parlimen yang akan dilakukan institusi itu akan mengambil masa kurang dua tahun.

"Sebenarnya kita menetapkan suatu tempoh, iaitu satu penggal, atau lima tahun, atau sekurang-kurangnya dua tahun.

"Bagaimanapun, mungkin dengan bantuan kepimpinan ahli-ahli Parlimen, kita yakin proses ini akan lebih cepat kerana ia ditunggu-tunggu oleh rakyat," ujarnya.

Siapakah ahli Parlimen yang akan memainkan peranan besar dalam memacu reformasi Parlimen?

Nantikan temubual eksklusif bersama Rashid yang akan bersiaran di Astro AWANI pada Ahad ini.