Sebanyak lima kes kemalangan maut membabitkan enam kematian direkodkan di Kedah selepas dua hari pelaksanaan Ops Selamat ke-16 Sempena Tahun Baharu Cina 2020 yang bermula semalam hingga 1 Feb depan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Supt Chuah Seong Lim berkata dua kes dicatatkan di Kulim, manakala satu kes masing-masing di Kota Setar, Langkawi dan Kuala Muda.

"Semua kes kemalangan maut ini melibatkan motosikal dan kebanyakkannya berpunca daripada kecuaian sendiri. Kita telah mengenal pasti 37 lokasi panas yang sering berlaku kemalangan jalan raya di Kedah dan akan memberi lebih tumpuan di kawasan itu," katanya kepada pemberita semasa meninjau pelaksanaan Op Selamat di Jalan Sultanah Bahiyah di sini, hari ini.

Menurutnya 820 saman lalulintas dikeluarkan dalam tempoh dua hari operasi yang membabitkan enam kesalahan utama yang dikenal pasti menjadi penyumbang kepada kemalangan jalan raya iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu isyarat, memotong barisan dan menggunakan alat komunikasi.

Sementara itu di Kuantan, Pahang, Timbalan Ketua Polis Negeri Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata dalam Ops Selamat tahun ini, polis Pahang akan turut memberi tumpuan kepada usaha membanteras kegiatan Mat Rempit, ekoran kegiatan itu dilihat kini semakin berleluasa, dan banyak melibatkan golongan muda termasuk pelajar sekolah.

"Fokus kita di jalan raya bukan hanya mereka yang melakukan kesalahan jalan raya, tetapi kepada golongan mat rempit yang cenderung menunggang motosikal secara berbahaya termasuk ada yang tidak mempunyai lesen yang sah.

"Ada juga yang mengubahsuai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan selain membuat bunyi bising sehingga menganggu ketenteraman awam," katanya selepas melancarkan Op Selamat 16 Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang Datuk Abdul Aziz Salleh dan Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Mohd Yusri turut menasihatkan ibu bapa untuk memantau pergerakan anak-anak dan tidak membenarkan motosikal mereka digunakan oleh individu yang tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

-- BERNAMA