Tutup

Enam lelaki ditahan bantu siasatan kes samun anggota polis

Enam lelaki ditahan bantu siasatan kes samun anggota polis
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan. - Gambar hiasan
KOTA KINABALU: Polis menahan enam lelaki disyaki terlibat dalam kes samun sehingga mendatangkan kecederaan terhadap seorang anggota polis, Jumaat lepas.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP Habibi Majinji berkata kesemua suspek berumur 20 hingga 37 tahun itu ditahan dalam empat serbuan di sekitar bandar ini, bermula 7.30 pagi hingga 2 petang, semalam.
Beliau berkata dalam siri tangkapan itu, polis turut merampas wang tunai RM180, kad pengenalan mangsa, lesen memandu pasukan, kad ATM, kad koperasi polis, buku nota kecil dan telefon bimbit.

"Kesemua suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 23 Nov bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Habibi berkata berdasarkan siasatan, anggota polis berumur 22 tahun itu disamun kira-kira 11.45 malam, Jumaat lepas di hadapan sebuah bank berhampiran Jalan Gaya dekat sini.

Beliau berkata mangsa yang baru melapor tugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu pada 15 Nov lepas, mengalami kecederaan bengkak di kepala sebelah kiri akibat disamun sekumpulan lelaki berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan.

-- BERNAMA


Tag: samun, anggota polis, jenayah, habibi majinji



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.