Enam cedera parah, termasuk seorang kanak-kanak dan dua cedera ringan dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan sebuah lori, dua buah kereta dan sebuah motosikal di Kilometer 13.5, Jalan Ipoh - Lumut di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11 malam di persimpangan Batu Gajah Perdana.

Menurutnya, mangsa yang parah ialah penunggang motosikal, Mohd Ridzuan Shahron, 40; penumpang hadapan kereta pertama, Nurnafuzah Mohd Junus, 19; dan empat orang yang menaiki kereta kedua.


Mereka ialah pemandu, A. Vijendran, 35, penumpang hadapan, V. Rajendran, 31, dan dua penumpang belakang, CK Khasuri, 20, dan V. Saarani Shree, 5.

Dua penumpang belakang kereta pertama hanya cedera ringan manakala pemandunya dan pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Menurut Ahmad Adnan, siasatan awal mendapati, kereta pertama yang dari perjalanan dari Batu Gajah ke Ipoh dipercayai terlanggar bahagian tepi motosikal yang ingin masuk ke simpang Batu Gajah Perdana.

“Akibat perlanggaran itu, kereta berkenaan dikatakan hilang kawalan lalu terlanggar belakang lori sebelum memasuki lorong sebelah kanan dan bertembung dengan kereta kedua,” katanya di sini.

Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menggunakan ‘rescue tool’ untuk mengeluarkan seorang pemandu kereta yang tersepit manakala mangsa lain telah dikeluarkan okeh orang awam.