Enam pemandu berlumba atas DUKE, 3 maut termasuk bayi

Enam pemandu berlumba atas DUKE, 3 maut termasuk bayi
Akibat pemandu yang tidak bertanggungjawab berlumba di jalan raya, tiga sekeluarga maut termasuk bayi berusia 6 bulan. - Foto Facebook Shafiq Rosli
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri dan bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di KM 6.2 Lebuhraya Duke di sini awal pagi tadi.

Mereka ialah Fairuz Nizam Husain, 35, isterinya Nova Safitri Azhari, 25, dan bayi mereka Nur Firuza Annisa, lapor Bernama.

Fairuz yang memandu kenderaan Pajero maut di tempat nahas manakala isteri dan anaknya meninggal di Hospital Kuala Lumpur.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP S. Markandan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.05 pagi di laluan dari arah Ulu Klang menghala Jalan Duta.

Beliau berkata kemalangan berlaku apabila kereta Pajero itu yang berada di  lorong tengah dipercayai digesel dari sebelah kanan oleh sebuah kereta Myvi.

"Akibat pelanggaran itu, kereta mangsa terbabas di sebelah kiri sebelum dilanggar sebuah lagi kereta Myvi yang berada di lorong kiri.

"Kenderaan mangsa berpusing beberapa kali dan menyebabkan mereka tercampak di atas jalan," katanya kepada Bernama.

Kedua-dua pemandu kereta Myvi itu termasuk seorang wanita berumur 35 tahun  cedera ringan manakala seorang lagi pemandu lelaki berumur 31 tidak mengalami kecederaan.

Ditanya sama ada kemalangan itu berpunca daripada enam kereta Myvi sedang berlumba di Lebuhraya Duke ketika itu seperti yang dipapar di Facebook, Markandan berkata pihaknya masih menyiasat perkara itu.

"Kita difahamkan bahawa keenam-enam pemandu Myvi itu baru pulang dari minum di Ampang. Pihak kita sedang mengambil keterangan daripada mereka," katanya.

Kemalangan maut di Lebuhraya DUKE - Foto Facebook Shafiq Rosli
Mangsa tercampak keluar dari kenderaan dalam satu kemalangan maut di Lebuhraya DUKE - Foto Facebook Shafiq Rosli

Gambar keluarga mangsa kemalangan maut, tiga terbunuh termasuk bayi berusia 6 bulan.
Gambar keluarga mangsa kemalangan maut, tiga terbunuh termasuk bayi berusia 7 bulan.